H1N1 Penyakit yang menular akibat kecuaian

Apakah tanda-tanda mengidap pandemik influenza H1N1?

Tanda-tanda mengidap jangkitan H1N1 kebiasaannya adalah demam, batuk, berhingus dan sakit kerongkong. Terdapat juga tanda-tanda yang tidak khusus seperti sakit kepala, sakit badan, cirit birit, muntah dan lain-lain. Kebanyakan orang yang mendapat hanya mendapat gejala ringan. Anggaran sekitar 10% mendapat gejala yang teruk seperti pneumonia (jangkitan paru-paru), encephalitis (jangkitan otak), carditis (jangkitan jantung), jangkitan telinga tengah, kurang cecair badan serta menyebabkan penyakit yang telah dihidapi bertambah teruk contohnya asthma.Add Media

Jangkitan pandemic influenza A H1N1 tidak dapat dibezakan H1N1 dengan selsema lain tanpa ujian makmal. Tanda klinikal pengidap H1N1 adalah sama dengan selema lain. Walaubagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan menganggarkan sebanyak 95% selsema adalah disebabkan sekarang influenaza A H1N1. Keadaan yang sama diperhati seluruh dunia. Dapat ertikata lain, semua kes selsema sekarang perlu dianggap sebagai influenza A H1N1. Sehubung dengan itu juga, ujian makmal untuk memastikan H1N1 secara umumnya tidak diperlukan untuk pengurusan pesakit.

Kenapa jangkitan influenza A H1N1 berbeza dengan selsema lain?

Pada asasnya adalah kita hanya mempunyai sebahagian immuniti terhadap selsema bermusim iaitu influenza A H3N2. Influenza A H1N1 adalah asing dan badan kita masih belum mempunyai immuniti terhadap kuman ini. Jadi terdapat kemungkinan kita akan mendapat selsema yang teruk apabila mendapat jangkitan influenza A H1N1.

Influenza A H1N1 juga menyebabkan kematian yang banyak dalam pandemik influenza pada tahun 1918-1919 iaitu dianggarkan sebanyak 50 juta orang. Namun kita sungguh bertuah kerana kadar kematian akibat jangkitan influenza A H1N1 sekarang adalah lebih rendah daripada dijangkakan walaupun kita tidak mempunyai immuniti terhadap kuman ini. Berbanding dengan influenza A H5N1 iaitu selsema burung yang mempunyai kadar kematian lebih 50%, influenza A H1N1 cuma melibatkan kematian sekitar kurang dari 1%.

Sehingga 16hb Ogos 2009 Kementerian Kesihatan melaporkan kematian yang berkaitan dengan jangkitan influenza A H1N1 adalah 59 kes. Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan beberapa kes masih dirawat di unit rawatan rapi serta wabak ini masih dalam peringkat awal. Jumlah mangsa yang dipastikan H1N1 melalui ujian makmal sehingga kini adalah sebanyak lebih 2000 orang. Jumlah yang dipastikan H1N1 adalah lebih kecil dari jumlah sebenar kerana ujian makmal hanya dilakukan untuk kes yang teruk sahaja.

Melihat kepada keadaan ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa H1N1 merupakan satu bencana yang dahyat untuk negara kita kerana bencana lain seperti banjir dan tanah runtuh hanya melibatkan beberapa kematian sahaja. Kita juga tidak terdedah kepada bencana yang besar seperti tsunami, gempa bumi atau letusan gunung berapi.

Kenapa influenza H1N1 juga digelar Selsema Babi?

Influenza A H1N1 adalah kuman selsema yang biasa dalam kitaran babi. Wabak H1N1 dikalangan babi pernah dilaporkan sebelum ini. Kali pertama influenza A H1N1 dikesan daripada babi pada tahun 1930. Tetapi strain kuman influenza A H1N1 terbaru ini tidak dipastikan daripada mana ia berasal. Kemungkinan adalah percampuran genetik antara kuman daripada burung, babi dan manusia di Amerika Utara. Ia dilaporkan sebagai selsema babi pada 24 April 2009. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menukarkan istilah ini kepada influenza A H1N1 supaya lebih menggambarkan penyebab sebenar kepada selsema ini. Tetapi istilah ‘selsema babi’ masih digunakan oleh media umum dan WHO masih mengekalkan ‘swineflu’ dalam alamat webpage H1N1.

Pada 11 Jun 2009, pihak WHO mengisytiharkan influenza A H1N1 pandemik Fasa 6. Ini merupakan kali pertama WHO mengistiharkan wabak pandemik selepas selsema Hong kong pada tahun 1968. Fasa 6 pandemik diisytiharkan apabila terdapat penularan wabak ini antara manusia dengan manusia secara signifikan dan melibatkan lebih dari dua benua. Malaysia melaporkan kes pertama influenza H1N1 pada 15 Mei 2009.

Apakah tempoh seseorang yang dijangkiti influenza A H1N1 boleh merebakkan virus ini kepada orang lain?

Tempoh transmisi adalah bermula sehari sebelum gejala sehingga tujuh hari selepas gajala bermula. Ini menyebabkan kawalan penyakit ini agak sukar kerana kita tidak dapat menjangkakan bila sesorang akan mendapat demam selaps jangkitan ini. Bagi pesakit kanak-kanak dan pesakit kurang daya immune pula, tempoh ini mungkin lebih panjang dijangkakan sehingga tujuh hari selepas gejala berakhir.

Kuman influenza A H1N1 dianggarkan boleh bertahan di persekitaran sehingga 2-8 jam. Di persekitaran yang kering dan panas, kuman ini akan mati dalam tempoh yang lebih singkat. Kuman ini boleh dibunuh dengan menggunakan sabun, spirit dan ubat-ubat anti septik.

Apakah rawatannya bagi jangkitan influenza A H1N1?

Secara umumnya, pesakit menghadapi gejala yang ringan dan tidak mempunyai penyakit sampingan hanya memerlukan rawatan gejalanya sahaja iaitu ubat demam, batut dan selsema. Pesakit juga perlu mengamalkan banyak minum air dan makan buah-buahan. Perokok-perokok dinasihatkan berhenti merokok. Pesakit yang mengidap gejala selsema perlu mengelakkan kunjungan ke tempat awam dan mengamalkan isolasi sendiri. Bagi pesakit yang di nasihatkan kuarantin di rumah, mereka perlu memerhati tanda-tanda AMARAN.

Pesakit-pesakit selsema yang mempunyai penyakit sampingan berikut perlu mendapat rawatan antivirus lebih awal

– Penyakit respiratori seperti asthma, penyakit paru-paru kronik

– Mengandung

– Kegemukan

– Kurang daya immun

– Kanser, diabetes, penyakit jantung

Apakah tanda-amaran AMARAN bagi kes ringan?

Masalah pernafasan : sesak nafas, semput, warna bibir bertukar menjadi biru/ungu
Batuk berdarah atau kahak berdarah
Sakit dada berterusan
Cirit-birit atau muntah yang kerap
Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berulang selepas tiga hari pulih
Berkelakuan tidak normal, keliru, kurang responsif kepada rangsangan atau sawan
Rasa pening apabila berdiri
Kurang kencing
Adakah rawatan khusus untuk jangkitan selsema influenza A H1N1?

Kebanyakan pesakit tidak memerlukan rawatan khusus penyakit ini iaitu ubat antivirus. Dalam kes di Malaysia ubat antivirus yang digunakan adalah Oseltamivir (Tamiflu). Sebahagian kecil pesakit dianggarkan sekitar 30% memerlukan ubat ini. Pesakit yang mendapat komplikasi sederhana dan teruk adalah kumpulan yang patut mendapat rawatan antivirus. Pesakit ini perlu dimasukkan dan diberikan rawatan dalam wad. Pesakit yang mempunyai penyakit sampingan dan pesakit dari kalangan anggota perubatan yang mendapat jangkitan melalui merawat pesakit selsema juga perlu mendapat rawatan anti virus. Pihak Kementerian Kesihatan terus memantau keadaan ini dan kumpulan sasar antivirus akan berubah mengikut keperluan semasa. Pada waktu waktu ini juga dicadangkan pesakit kanak-kanak kurang dari umur lima tahun dan pesakit yang mendapat demam berterusan lebih dari tiga hari juga mendapat rawatan antivirus.

Pesakit yang mengidap gejala ringan tidak memerlukan rawatan khusus. Tiada jawapan yang tepat adakah pesakit yang mengidap gejala ringan hanya terus berada di rumah tanpa mendapat pemeriksaan dari pengamal perubatan. Pertimbangan perlu diberikan kemudahan kesihatan yang mendapat kunjungan pesakit melampaui kemampuan mereka. Sudah pasti kakitangan kesihatan tidak mapu memeriksa dengan teliti setiap pesakit yang hadir. Namun begitu, sekiranya terdapat tanda AMARAN, mereka yang mengidap gejala ringan ini perlu diperiksa.

Adakah perlu ujian pengesahan influenza A H1N1?

Terdapat tiga ujian pengesahan iaitu melalui kaedah PCR, kultur virus atau ujian serologi. Ketiga-tiga ujian ini memerlukan kos yang tinggi dan sangat membebankan kakitangan makmal. Dalam wabak fasa mitigasi ini, ujian makmal tidak lagi penting untuk pengurusan pesakit. Sebaliknya ujian makmal seharusnya tertumpu kepada kluster wabak selsema, pesakit yang mngeidap gejala yang teruk serta pengesanan virus yang rintang kepada antivirus.

Kenapa seolah-olah berlaku kecelaruan pengurusan di kalangan pengamal perubatan?

Banyak orang berpandangan bahawa arahan yang tidak tetap seperti sekejap tutup sekolah, sekejab boleh buka ataupun kumpulan sasar antivirus yang berubah-ubah sebagai satu kecelaruan. Sebenarnya ini bukan kecelaruan pengurusan, tetapi sebaliknya saya berpendapat ini adalah langkah yang bersesuaian dengan tahap wabak ini sendiri. Sebagai contohnya, dalam fasa mitigasi, tidak semua pesakit boleh dimasukkan ke dalam wad begitu juga tidak semua sekolah boleh ditutup. Dalam suasana bencana, perubahan arahan dan strategi serta cara mengurangkan kesan bencana boleh berubah mengikut kesesuaian. Perubahan ini untuk kebaikan umum mengikut maklumat dan masalah semasa. Sebagai kumpulan yang terdedah dengan bencana ini, kita seharusnya peka dengan arahan semasa pihak berkuasa khususnya Kementerian kesihatan dalam hal ini.

Adakah ubat antivirus mencukupi?

Saya percaya bekalan antivirus adalah mencukupi. Pihak Kementerian Kesihatan telah menambah bekalan kepada sebanyak 20% jumlah penduduk. Ini adalah kerana kebiasaan bagi sesuatu wabak pandemik influenza yang mana 20% daripada mereka yang dijangkiti akan mengidap gejala selsema. Ubat ini perlu mendapat preskripsi samada dari pengamal perubatan kerajaan atau swasta. Ubat ini tidak dijual di farmasi pada masa ini kerana terlalu mudah mendapat antivirus boleh menyebabkan tiada kawalan dalam bekalan ubat ini. Ia juga dibimbangi akan menyebabkan kuman H1N1 menjadi kalis kepada ubat antivirus.

Antivirus dan vaksin adalah berbeza. Antivirus adalah ubat untuk membunuh virus, manakala vaksin pula untuk merangsang pembentukan antibodi bagi melawan virus. Antivirus seperti Oseltamivir (Tamiflu) yang diambil secara oral dan Zanamivir (Relenza) yang diambil secara sedutan adalah ubat untuk merawat jangkitan influenza A(H1N1). Kadang-kadang antivirus digunakan sebagai pencegah bagi golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan teruk seperti perempuan mengandung yang terdedah kepada pesakit H1N1.

Vaksin untuk Influenza A (H1N1) masih belum ada sama ada di Malaysia atau di dunia. Vaksin selsema yang ada di pasaran sekarang ini hanya meliputi selsema bermusim iaitu H3N2. Ia tidak boleh mencegah H1N1. Namun begitu, pihak Pusat Kawalan Penyakit (CDC) masih mencadangkan vaksin ini bagi tujuan mengelakkan selsema terutama di kalangan kumpulan berisiko. Ini juga bertujuan mengelakkan seseorang mendapat dua jenis selsema berbeza dan seterusnya menyebabkan percampuran dua strain kuman influenza berbeza dalam satu badan.

Apakah yang perlu dilakukan di sekolah yang mempunyai kes H1N1?

Seperti dimaklumi, dalam fasa mitigasi, sekolah ditutup adalah sebagai langkah terakhir. Sekiranya sekolah ditutup untuk tempoh tertentu, pelajar hendaklah sentiasa berada di rumah dan memantau kesihatan diri. Pada masa yang sama pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti di dalam tempoh penutupan tersebut

Sekiranya sekolah tidak ditutup, pelajar dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut. Dalam fasa mitigasi ini sepatutnya pelajar atau guru yang mempunyai tanda selsema akan bercuti. Tindakan penutupan sekolah hanya akan dilakukan oleh pihak sekolah atau institusi bila kehadiran pelajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik. Pihak sekolah bertanggungjawab untuk memutuskan status penutupan sekolah/kelas. Pihak sekolah boleh mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan daerah jika perlu.

Ibu bapa/ penjaga dan guru hendaklah memastikan pelajar dan kakitangan yang mempunyai gejala selsema tidak hadir ke sekolah dan mereka perlu mendapatkan rawatan. Pihak sekolah diminta untuk membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap murid sekolah setiap hari dan merujuk ke klinik untuk rawatan lanjut.

Apakah langkah pencegahan mengurangkan penularan selsema ini?

Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan
Adab batuk yang baik (cough etiquette)
Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap
Pengudaraan dalam rumah yang baik
Kes-kes yang berkomplikasi atau yang berisiko tinggi perlu dirawat di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimakan
Mereka yang bergejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, digalakkan berehat di rumah dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat.
Kehadiran banyak kes bergejala ringan ke klinik boleh membebankan keupayaan klinik untuk merawat kes-kes yang berisiko yang sebenarnya perlu diberi perhatian utama
Mereka yang bergejala perlu memakai mask termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit asthma, obesiti, ibu mengandung, diabetes, dan penyakit kronik paru-paru
Majikan dan institusi perlu memantau kehadiran pekerja mereka termasuk mereka yang tidak hadir bertugas kerana sakit
Kejadian kes bersimptom influenza perlu dilaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat
Adakah penggunaan mask mencegah H1N1?

Ini adalah satu yang sangat subjektif. Keterlaluan penggunaan mask menyebabkan harga mask meningkat dan sukar diperolehi dalam pasaran. Mask kertas berkemungkinan tidak mempunyai kesan untuk mencegah penularan influenza A H1N1. Hanya surgical mask (iaiutuk mask tiga lapis yang bahagian luarnya berwarna) mempunyai kesan sekiranya digunakan dengan betul. Penggunaan mask bukanlah satu alternatif kepada penjagaan kebersihan diri, tangan serta muka dan hidung. Pihak Kementerian mahukan supaya surgical mask tidak boleh digunakan lebih dari sehari dan dibuang/ ditukarkan sekiranya kotor, basah atau tercemar atau terkoyak.

Memandangkan mask di pasaran adalah terhad, dicadangkan hanya kumpulan khusus yang menggunakan mask iaitu orang yang mempunyai gejala selsema dan orang yang menguruskan, berhubung langsung dan merawat pesakit selsema. Orang ramai boleh menggunakan mask apabila mereka berada di khalayak ramai. Namun begitu, penggunaan mask bukanlah alternatif kepada social distancing, penjagaan kebersihan tangan dan muka serta adab batuk dan sebagainya itu.

Cara penggunaan mask yang betul:

Basuh tangan sebelum dan selepas memakai mask
Basuh tangan selepas menyentuh mask
Bahagian berwarna dipakai sebelah hadapan
Pastikan mask menutupi hidung, mulut dan sebahagian dagu
Dawai logam perlulah di letakkan di bahagian atas hidung dan dilipat sewajarnya supaya mask tetap di situ dan kebocoran dielakkan
Elakkan dari menyentuh bahagian hadapan mask kerana kawasan ini banyak kuman
Surgical mask tidak boleh digunakan lebih dari sehari, dan mesti ditukar serta merta sekiranya dikotori rembesan hidung, air atau rosak.
Selepas menggunakan mask, mask hendaklah dilipat, dimasukkan ke dalam bag plastic sebelum dibuang ke dalam tong sampah.
Bilakah masalah ini akan berakhir?

Hanya Allah mengetahuinya. Kita berdoa semoga wabak ini selesai dengan cepat. Dijangkakan di akhir tahun ini vaksin akan memasuki pasaran. Dengan itu, insyaAllah vaksin ini dapan mencegah penularan penyakit selsema ini.

This entry was posted in Artikel, Kesihatan Umum and tagged H1N1. Bookmark the permalink.2016-10-11-06-21-20

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *