Hati – hati tentang kanser tulang

2016-10-20-19-14-13

Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Meskipun tidak dikategorikan sebagai antara kanser yang menjadi pembunuh nombor satu di negara ini, kanser tulang juga perlu diwaspadai kerana ia sukar dikesan pada peringkat awal.

Bagi kanak-kanak dan remaja, kanser tulang lebih sukar dikesan kerana simptomnya tidak dapat dibezakan dengan bengkak biasa malah biasanya sembilan daripada 10 kebengkakan yang berlaku dikesan sebagai bukan barah dan hanya satu daripadanya benar-benar penyakit berbahaya itu.

Bagaimanapun, frekuensi bagi kanser tulang sama di serata dunia, baik negara membangun seperti Malaysia dan negara Asia lain mahupun negara maju contohnya Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat kerana kanser ini tidak dipengaruhi oleh kawasan, kaum mahupun pemakanan.

Cuma di negara ini segelintir daripada kita tidak mengendahkan jika berlaku bengkak asalkan tidak sakit. Jika benar-benar bengkak itu disebabkan kanser, ia biasanya sudah terlalu lewat untuk dirawat.

Perunding Pakar Bedah Ortopedik dan Pakar

Onkologi Muskuloskeletal Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) Prof Dr Zulmi Wan berkata, meskipun kanser tulang sukar dikesan di peringkat awal, ibu bapa seharusnya tidak memandang remeh sekiranya terdapat bengkak pada bahagian tulang anak terutama dengan simptom seperti sakit yang berlanjutan

terutama pada waktu malam.

Ini kerana katanya, antara ciri kesakitan disebabkan kanser ialah apabila kesakitan sering berlaku pada sebelah malam tapi tidak berasa sakit pada waktu siang. Justeru jika anak mengadu sakit pada bahagian yang bengkak, seharusnya diberi perhatian serius dan merujuk kepada pakar.

“Lebih penting, sekiranya ada ahli keluarga mempunyai sejarah kanser mereka perlu lebih berwaspada kerana kemungkinan genetik kanser ini ada pada anak cucu dan seterusnya boleh dikesan lebih awal.

“Sejarah kanser yang berlaku pada ibu bapa, datuk, nenek atau ahli keluarga lain tidak semestinya kanser sama, asalkan namanya kanser, ibu bapa perlu memberi perhatian lebih jika anak mereka mengalami simptom kanser tulang.

“Pernah ada sebelum ini pesakit saya, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang mengalami ketumbuhan di paha, apabila saya menyiasat sejarah keluarganya mendapati bapanya juga ada sejarah kanser tulang, datuk dan neneknya juga ada sejarah kanser,” katanya.

Beliau berkata, ada dua jenis kanser tulang iaitu primer dan sekunder. Kanser tulang primer biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan individu bawah 30 tahun manakala kanser tulang sekunder pula banyak terjadi kepada orang dewasa dan tua.

Bagaimanapun, peluang untuk pesakit kanser tulang primer sembuh lebih cerah jika ia masih berada di tahap pertama atau awal.

Sesetengah masyarakat beranggapan kanser tulang hanya bengkak biasa seperti terseliuh yang akan surut beberapa hari selepas diubati. Hakikatnya, kanser tulang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

Kanser tulang primer bermula daripada tulang manakala kanser tulang sekunder merebak dari tempat lain ke tulang dan ia paling banyak ditemui.

Menurutnya, dengan kepakaran dan teknologi masa kini, pesakit kanser tulang tidak perlu bimbang berhubung kehilangan anggota tubuh mereka kerana masih ada rawatan alternatif.

Katanya, prosedur salvaj adalah satu kaedah pembedahan yang hanya membuang bahagian yang terkena kanser dan mengekalkan anggota sedia ada.

“Bagi membolehkan anggota tubuh berfungsi seperti biasa, bahagian tulang yang terkena kanser saja yang akan dibuang.

“Ia akan digantikan dengan tulang baru yang dikenali sebagai megaprostesis atau alograf, atau kombinasi prostesis dan alograf yang dikenali sebagai alloprostesis,” katanya.

Prostesis ialah alat gantian yang diperbuat daripada besi atau aloi yang dimasukkan ke dalam tubuh bagi menggantikan bahagian tulang yang dibuang.

Alograf pula ialah tulang gantian (tulang manusia) yang sudah diproses diperoleh sama ada dari bank tisu tempatan atau diimport dari luar negara.

Dr Zulmi berkata, proses penyembuhan selepas pembedahan tulang kebiasaannya tidak mengambil masa lama sebaliknya proses rehabilitasi yang memerlukan masa yang panjang kerana pesakit perlu mendapatkan semula pergerakan sendi, membangunkan semula otot dan mengajar cara berjalan semula.

Katanya, anggaran proses itu bergantung kepada individu namun biasa­nya proses itu mengambil masa enam bulan dan bagi kanak-kanak atau remaja yang mengalami kanser tulang, mereka dinasihatkan untuk mengambil cuti rehat selama setahun daripada sekolah untuk rawatan dan pemulihan. Selepas tempoh itu, barulah mereka boleh memulakan kembali persekolahan.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan fizikal anak mereka. Misalnya jika anak mengadu sakit, segera beri perhatian dan bawa berjumpa doktor.

“Meskipun kanser tulang jarang berlaku, kesedaran masyarakat terhadap penyakit ini masih rendah dan membimbangkan.

“Ramai tidak tahu jika anak mereka sakit kanser tulang dan menganggap ia terseliuh atau sakit biasa dan membiarkannya tanpa membawa berjumpa doktor pakar.

“Biasanya tulang yang dijangkiti kanser akan kesakitan dan bengkak. Jika tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kematian.

“Jika berasa sakit dalam tempoh dua minggu dan bengkak masih tidak hilang, segera berjumpa doktor untuk imbasan sinaran-X, imbasan tulang dan biopsi tulang untuk diagnosis,” katanya.

Gejala dan tanda

• Bengkak dan sakit pada kawasan terbabit

• Sakit yang kuat terutama waktu malam

• Hilang fungsi anggota

• Tulang lebih rapuh dan mudah patah

• Hilang berat badan dan selera makan

Diagnosis

Sejarah pesakit yang terperinci, pemeriksaan fizikal pesakit yang menyeluruh berserta ujian makmal dan pengesanan tertentu seperti sinaran-x, imbasan tulang dan biopsi tulang (pembedahan kecil untuk mengambil tisu tulang dan diperiksa di makmal) mencukupi untuk mendiagnosis kanser tulang.

Rawatan

Rawatan kemoterapi (ubat antikanser), ujian makmal tertentu, rawatan radioterapi dan teknik pembedahan yang terkini, kebanyakan kanser tulang primer dan sekunder boleh dirawat.

Rawatan kanser tulang sekunder bergantung kepada punca kanser. Kebanyakan pesakit yang menghidapi kanser tulang peringkat akhir bertujuan memperbaiki mutu kehidupan dan meringankan gejala kanser tulang sekunder.

Proses penyembuhan

Peluang untuk sembuh semakin baik dan cerah dengan kemajuan ubat kemoterapi, selain pelbagai faktor yang boleh dibincang dengan pakar bedah ortopedik.

Radioterapi adalah satu cara untuk merawat kanser. Ia menggunakan radiasi seperti sinaran-X, sinaran gamma atau elektron untuk mengubati atau mengawal kanser. Perkataan itu berasal daripada ‘radio’ bermaksud sinaran dan ‘terapi’ bermaksud rawatan.

Radioterapi boleh digunakan kerana radiasi menghentikan kanser daripada membesar dan sel kanser daripada membahagi. Ia diarahkan kepada sel kanser dengan dua cara iaitu radiasi dalaman dan radiasi luaran.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:24 PM

2016-10-20-19-14-13

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *